• Add
    Company

FXPRIMUS Marshall Gittler in Malay by Wordwide FX Financial Translations - Tumpuan Minggu Ini untuk minggu bermula 10 Oktober daripada FXPRIMUS

Wordwide FX Financial Translations

Seperti biasa, tidak banyak penunjuk yang akan dikeluarkan pada minggu kedua pada bulan ini. Minggu ini bermula dengan cuti pada hari Isnin di Jepun, AS dan Kanada, oleh itu pasaran terutamanya mungkin lengang.

Suasana pada minggu ini mungkin ditentukan berdasarkan peristiwa pada hari Ahad apabila mesyuarat tahunan IMF/Bank Dunia berakhir dan debat kedua Calon Presiden AS diadakan. Peserta dalam mesyuarat IMF/Bank Dunia mungkin menggunakan langkah berhati-hati yang akan menggalakkan suasana "risk off" dalam pasaran. Sebaliknya, debat pertama telah meningkatkan suasana "risk on" yang membantu saham dan beberapa mata wang peka risiko berbanding dolar, yang melemahkan keseluruhan (mungkin disebabkan oleh pemulihan dalam mata wang negara-negara yang mungkin paling terjejas disebabkan oleh kejayaan Trump, seperti Mexico, Kanada dan Korea Selatan). Kaitan antara kedua-dua peristiwa ini akan menentukan sentimen pada pembukaan. Tetapi dalam apa-apa jua keadaan, aktiviti pada waktu Asia mungkin lebih lengang berbanding biasa kerana cuti di Jepun dan aktiviti di Eropah mungkin juga terhad kerana ketiadaan dorongan untuk dagangan dan cuti di AS dan Kanada.

Untuk AS, kesan data bayaran gaji bukan ladang yang agak mengecewakan pada hari Jumaat lalu (NFP tidak mencapai jangkaan dan kadar pengangguran meningkat, walaupun terdapat peningkatan kadar penyertaan) mungkin beransur hilang pada minggu ini, pada pandangan saya. Begitulah keadaannya baru-baru ini apabila pelabur menilai semula reaksi pertama mereka terhadap data dan membuat keputusan kemudiannya bahawa data tersebut tidak cukup teruk untuk menyebabkan pihak yang menyokong kenaikan kadar mengubah pandangan mereka. Peningkatan dalam data gaji tahun ini sehingga kini yang dikemas kini sebanyak 178k tidaklah jauh daripada purata ytd 181k pada bulan Ogos, yang dirujuk oleh Pengerusi Rizab Persekutuan, Yellen beberapa kali dalam sidang akhbar beliau bulan September lalu sebagai "kadar kemajuan kukuh" melebihi paras yang diperlukan untuk menyerap pekerja baharu. Pada masa yang sama, kenaikan dalam kadar penyertaan sebahagiannya menerangkan sebab kenaikan kecil dalam kadar pengangguran - itulah yang dicari-cari oleh FOMC.

Kita akan mendapat lebih banyak data pekerjaan pada hari Rabu, apabila laporan Peluang Kerja dan Tinjauan Pusing Ganti Buruh (JOLTS) memberikan jumlah peluang kerja yang boleh didapati. Bacaan itu dijangka menurun sedikit yang juga akan menerangkan sebab pertumbuhan yang perlahan dalam data gaji apabila ekonomi menghampiri anggaran FOMC untuk guna tenaga penuh.

Selain itu, minit mesyuarat bagi mesyuarat FOMC yang terkini juga akan dikeluarkan pada hari Rabu, apabila sekali lagi Jawatankuasa itu gagal menaikkan kadar. Perbincangan itu sudah tentu meriah dengan terdapatnya tiga pihak penentang. Minit mesyuarat itu mungkin mendedahkan sebabnya pihak yang memihak kepada penurunan kadar telah menang dan sejauh mana kemungkinan mereka akan mengubah fikiran pada hujung tahun ini, sokongan yang berpotensi untuk dolar.

Banyak penunjuk AS akan dikeluarkan pada hari Jumaat iaitu jualan runcit, PPI, tinjauan pengguna U of Michigan dan juga terdapat ucapan daripada Pengerusi Rizab Persekutuan, Yellen pada hari yang sama. Jualan runcit dijangka meningkat yang boleh memberikan kesan positif untuk dolar. Kenaikan dalam PPI dan penambahbaikan dalam sentimen pengguna boleh menambah suasana yang baik pada hujung minggu ini - sudah tentu bergantung pada ucapan Pengerusi Yellen. Beliau akan bercakap tentang "Penyelidikan Makroekonomi Selepas Krisis".

Untuk Eropah, tinjauan ZEW pada hari Selasa dan pengeluaran industri seluruh EU pada hari Rabu akan diberikan tumpuan. Tinjauan ZEW diramalkan berubah sedikit dan dengan itu tidak memberikan banyak dorongan untuk membuat dagangan.

Bagi IP pula, IP Jerman, Perancis dan Sepanyol pada Jumaat lepas agak sihat, mengatasi jangkaan dengan mudah. Keadaan itu menunjukkan tiada masalah untuk mencapai atau melebihi ramalan untuk IP seluruh EU, yang dalam apa-apa jua keadaan biasanya boleh diramalkan dengan agak baik berdasarkan tiga IP yang telah pun diumumkan (Itali juga akan mengumumkan IP mereka pada hari Isnin, mengurangkan lagi kemungkinan kejutan pada hari Rabu)


China juga akan mengeluarkan beberapa laporan yang menggalakkan pada minggu ini. Data kewangan - pinjaman baharu dan pertumbuhan penawaran wang - dijangka dikeluarkan pada minggu ini, manakala data inflasi akan dikeluarkan pada hari Jumaat. Data ini dijangka menunjukkan peningkatan dalam kedua-dua pinjaman dan penawaran wang, manakala harga pengguna diramalkan turut meningkat. Semua itu akan memberikan berita yang baik untuk aset peka risiko dan membuat bida di bawah saham dan mata wang komoditi. Sama ada ia mencukupi untuk mengekang USD/CNH, yang melepasi paras rintangan pada 6.70 Khamis lepas, itu persoalan lain.

Sementara itu, paun mungkin mendapat sedikit kelegaan - tiada penunjuk utama UK akan dikeluarkan pada minggu ini.

Source: https://wordwidefx.com/en/blog/post/tumpuan-minggu-ini-untuk-minggu-bermula-10-oktober-daripada-fxprimus
Disclaimer
!"#$%&'()*+,-./0123456789:;<=>?@ABCDEFGHIJKLMNOPQRSTUVWXYZ[\]^_`abcdefghijklmnopqrstuvwxyz{|} !"#$%&'()*+,-./0123456789:;<=>?@ABCDEFGHIJKLMNOPQRSTUVWXYZ[\]^_`abcdefghijklmnopqrstuvwxyz{|}