Trading news

FXPRIMUS’ Marshall Gittler in Malay by Wordwide FX Financial Translations

Wordwide FX translates Marshall Gittler’s market insights every day into 5 languages. Read today’s daily comment in Malay, powered by FXPRIMUS

 

Penunjuk dan peristiwa untuk minggu 26 September daripada FXPRIMUS: Debat Clinton/Trump, perjumpaan OPEC, inflasi EU & Jepun, pendapatan peribadi AS

By Marshall Gittler, Head of Investment Research at FXPRIMUS @FXPRIMUS. Translated by Wordwide FX Financial Translations

Peristiwa paling penting minggu ini lebih kepada politik berbanding ekonomi.

Pada malam Isnin waktu AS - pagi Selasa GMT - dunia akan menyaksikan perdebatan pertama daripada 3 sesi debat bagi Calon Presiden AS, apabila bekas Wanita Pertama, Senator dan Setiausaha Negara AS Hillary Clinton berdebat dengan usahawan hartanah yang terkenal, Donald Trump. Topiknya ialah "hala tuju Amerika", "mencapai kemakmuran" dan "melindungi Amerika". Gaya para pendebat pasti berbeza:  Clinton telah menjadi tumpuan dunia politik sejak beliau memainkan peranan sebagai Wanita Pertama pada tahun 1993 dan mengetahui selok-belok dasar. Walau bagaimanapun, Clinton tidak begitu pandai untuk menarik perhatian atau menunjuk-nunjuk dan ramai orang Amerika tidak begitu berminat dengan dasar. Trump kelihatan hampir tidak mengetahui apa-apa tentang isu atau peristiwa semasa, namun beliau terbukti pintar dalam menguasai perhatian, memesongkan soalan dan menyerang pihak lawan dengan cara yang menghiburkan. Dengan tarikh pilihan raya yang semakin hampir, kedua-dua pihak akan cuba meyakinkan orang ramai yang masih teragak-agak.  Clinton akan cuba memenangi penyokong Republikan yang tidak berpuas hati dengan Trump tetapi masih belum mempercayai Clinton, manakala Trump akan cuba memenangi pihak bebas yang tidak pasti sama ada Trump layak menjadi Presiden. Pertaruhannya adalah tinggi:  undian hanya memberikan sedikit kelebihan kepada Clinton (46% hingga 43%) berbanding Trump. Jika didapati Trump boleh mencapai kemenangan, dolar mungkin akan menjunam jatuh tetapi MXN mungkin menjunam jatuh dengan lebih pantas!


Peristiwa penting yang lain ialah perjumpaan tidak rasmi OPEC di Algiers. Semua menteri minyak akan berkumpul di bandar ini untuk persidangan industri minyak dan akan mengadakan perjumpaan tidak rasmi selepas itu. Jika persetujuan berjaya dicapai, mereka mungkin menukarkannya kepada mesyuarat luar biasa dan menjadikannya rasmi. Keadaan tersebut boleh menaikkan harga minyak buat sementara waktu dan juga merangsang CAD dan MXN. Tetapi, disebabkan oleh lebihan minyak dalam pasaran minyak mungkin bertahan sehingga lewat tahun 2017, menurut Agensi Tenaga Antarabangsa, OPEC mungkin terpaksa bersetuju untuk bukan sahaja membekukan output pada paras semasa (lebihan) tetapi menurunkan output untuk menaikkan harga dengan ketara. Sukar untuk melakukan sedemikian dalam keadaan kumpulan yang ahli-ahlinya sedang berperang antara satu sama lain.

 

Beberapa data penting EU akan dikeluarkan pada minggu ini. Kita akan bermula hari ini dengan indeks Ifo yang dijangka hanya berubah sedikit. Kemudian, data pengangguran dan CPI Jerman akan dikeluarkan pada hari Khamis. Seperti biasa, CPI seluruh EU akan dikeluarkan pada hari esoknya. Inflasi di Jerman dan EU secara keseluruhannya dijangka agak pesat dan boleh mengurangkan beban ECB untuk mengambil tindakan yang baru dan dengan itu positif untuk EUR. ECB bermesyuarat lagi pada 20 Oktober. Terdapat juga beberapa ahli kanan Majlis ECB akan berucap pada minggu ini, termasuk Presiden Draghi, Naib Presiden Constancio dan Ketua Pakar Ekonomi, Praet. Para pelabur inginkan petunjuk tentang sama ada Majlis ECB memikirkan tentang tindakan selanjutnya dan jika begitu, apakah tindakan mereka apabila operasi pembelian bon mereka menghadapi masalah. Saya tertanya-tanya sama ada mereka akan mengulas tentang perubahan terbaru dalam operasi Bank of Japan berkenaan dasar kewangan dan sama ada mereka melihat sebarang penggunaannya kepada EU.

 

Terdapat banyak penunjuk AS akan dikeluarkan pada minggu ini, termasuk keyakinan pengguna pada hari Selasa, pesanan barang tahan lama yang sentiasa mengecewakan pada hari Rabu, anggaran akhir KDNK Suku 2 pada hari Khamis dan pendapatan & perbelanjaan peribadi pada hari Jumaat. Kedua-dua pendapatan dan perbelanjaan dijangka lebih perlahan berbanding bulan sebelumnya yang boleh memberikan kesan negatif untuk dolar. Data pendapatan & perbelanjaan peribadi seperti biasa akan diiringi dengan pendeflasi perbelanjaan penggunaan peribadi (PCE), ukuran inflasi pilihan Rizab Persekutuan, tetapi atas sebab tertentu, tidak memberikan banyak kesan terhadap pasaran.


Data rumah untuk bulan Ogos dimuktamadkan dengan jualan rumah baru pada hari Isnin dan jualan rumah belum selesai pada hari Khamis. Data rumah adalah mengecewakan sejak akhir-akhir ini, tetapi mungkin disebabkan oleh kekurangan rumah untuk dijual, bukannya permintaan yang merosot. 

Penunjuk hujung bulan yang biasa akan dikeluarkan dari Jepun, termasuk pelbagai ukuran inflasi mereka, kebanyakannya menuju ke arah yang salah. Sama ada penurunan selanjutnya deflasi yang semakin mendalam akan memberikan apa-apa kesan terhadap mata wang adalah boleh dipersoalkan, oleh sebab fungsi tindak balas BoJ sukar untuk dinilai pada masa ini. Walaupun jika mereka mengambil tindakan selanjutnya pada keluk hasil, seperti yang mereka janjikan, adakah tindakan itu akan memberikan kesan terhadap mata wang? Kesannya tidak jelas.

 

Malam Ahad GMT - pagi Isnin waktu Jepun - laporan Tankan suku tahun Bank of Japan akan dikeluarkan. Laporan itu dijangka menunjukkan keadaan semasa untuk pengilang besar kekal sama untuk suku ketiga berturut-turut, tetapi jangkaan ialah untuk sedikit peningkatan dalam suku yang akan datang. Tiada perubahan dalam kedua-dua arah mungkin neutral untuk yen.


Akhir sekali, Caixin/Markin mengeluarkan PMI pembuatan China mereka pada hari Jumaat, manakala pihak berkuasa negara itu akan mengeluarkan PMI rasmi pada hari Sabtu. Kedua-dua PMI pembuatan dijangka meningkat sedikit yang mungkin membantu sentimen risiko global dan meletakkan bidaan pada pasaran saham (dan AUD & NZD) pada pagi Isnin.

Tuesday, 27 Sep, 2016 / 12:25

Note: Company News is a promotional service of the Directory and the content isn't created by Finance Magnates.

Source : http://wordwidefx.com/en/blog/post/penunjuk-dan-peristiwa-untuk-minggu-26-september-daripada-fxprimus-debat-clinton-trump-perjumpaan-opec-inflasi-eu-jepun-pendapatan-peribadi-as

Trading news

 

Equities Turn Slightly Weaker Near The Top

Equity markets were seen trading rather flat for the third consecutive day. [...]

Posted on Friday, 24 Jan, 2020 / 2:48 under

Euro slips after ECB; stocks stage another comeback

  Euro/dollar breaks lower as ECB is a touch more dovish than [...]

Posted on Friday, 24 Jan, 2020 / 10:18 under

Coronavirus Stays in Spotlight; EUR Slides on ECB, EZ and UK PMIs in Focus

Most major EU indices traded in the red for another day, and while the US ones [...]

Posted on Friday, 24 Jan, 2020 / 8:47 under